Oktober 26, 2015

NASI AYAM YANG SANGAT SEDAP


Hari ni kita entri awal nanti bila dah gelap di luar rasa mengantuk lagi pun banyak kotak kosong yang menunggu minta diisikan.
Sendirian di rumah so kita masak cukup-cukup untuk seorang je. Suami Sue ke Padang terus ke medan Insyallah minggu depan balik lah. Nasi ayam ni my very own recipes. Rasanya hampir 18 tahun Sue menggunakan resepi ni setiap kali masak nasi ayam.
Cuma tidak ada sukatan bahan-bahan dan sue memang tidak menulis dalam buku ke apa semua dah set dalam kepala. Semuanya ikut anggaran sahaja. Nanti pada yang mencuba double kan kuantiti untuk masak lebih dari resepi yang Sue bagi ye!


SUP AYAM
Resepi: Sue Norrman 

Bahan-bahan
2 inci halia -kisar halus
5 ulas bawang putih - kisar halus
1 batang saleri - potong kecil
1 batang lobak merah sedang - potong 2 atau 3
6 kuntum cengkih
1 kuntum bunga anis
2 biji buah pelaga
Sedikit kulit kayu manis
1 biji bawang besar - potong panjang
2 liter air
Garam dan serbuk perisa secukup rasa
Tulang dada atau dada ayam untuk mendapat rasa yang sedap - cuci bersih
2 ketul paha ayam - cuci bersih *

*Jeruk kobis secukupnya - potong halus untuk di letak ke dalam sup bila makan nanti*

Cara
1) Rebus api sederhana bahan-bahan kecuali paha ayam(*) sehingga mendidih dan rasakan secukupnya.
2) Masukan paha ayam dan rebus sehingga ayam timbul dalam 10-15 minit. Bergantung pada saiz paha ayam dan kalau besar lanjutkan sedikit masa merebus takut bila di goreng masih berdarah dalamnya. Tutupkan api.
3) Angkat paha ayam dan rendamkan kedalam air sejuk sekitar 5 minit untuk mengelakkan kulit nya kecut.
4) Buang air dan toskan ayam sehingga kering dan ketepikan.


AYAM GORENG
Resepi: Sue Norrman

Bahan-bahan
2 Ketul ayam yang sudah direbus
1 sdt kicap pekat masin
1/2 sdt kicap manis
1 sdt  minyak bijan
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara
1) Panaskan minyak dengan api sederhana.
2) Lumurkan bahan basah pada ayam sehingga rata. Goreng sehingga keperangan dan angkat.
3) Biarkan suam baru di potong.


NASI AYAM
Bahan-bahan
2 cawan beras jasmine - cuci bersih dan toskan
11/2 - 2 cawan air sup ayam tadi (guna cawan yang sama) dan tapis untuk mendapatkan nasi yang bersih
* Sukatan air sup untuk masak nasi bergantung pada beras. Kenal pasti beras takut terlebih air menjadi lembik*
2 helai daun pandan - simpul
1/2 sdm mentega
Sedikit minyak sapi 
Sedikit pewarna kuning

Cara
1) Masukan beras kedalam periuk nasi dan tambah bahan-bahan selebihnya dan masak seperti biasa.
2)  Bila dan tukar keep warm, buka periuk dan kuar supaya nasi tidak padat dan tutup semula biarkan masak sepenuhnya.


SOS AYAM (GRAVY)
Bahan-bahan
11/2 sup ayam (tapis dahulu)
1 sdm sos tiram
 1 sdt gula
Sedikit kicap pekat - untuk menhitamkan sos
Sedikit minyak bijan
Sedikit lada sulah 
1 sdt tepung jagung - bancuh dengan sedikit air*

Cara
1) Didihkan bahan kecuali tepung jagung(*) dan rasakan secukupnya.
2) Masukan bancuhan tepung jagung dan kuar sebati, tutup api.


SOS CILI
(A)
2-3 biji cili merah hidup
2 biji cili padi
1 biji tomato ranum
1-2 ulas bawang putih
1 inci halia
1-2 sdm gula (bergantung pada citarasa sendiri. Kalau nak rasa manis boleh tambah gula lebih)

(B)
1/3 cawan sup ayam (tapis dahulu)
1 sdm sos cili
Sedikit garam
sedikit cuka

Cara
1) Kisar bahan (A) hingga halus.
2) Masukan kedalam periuk bahan kisar tadi dan masak atas api sederhana sehingga mendidih.
3) Masukan bahan (B) dan rasakan secukup (masam,manis,masam) dan biarka mendidih lagi. Tutup api.

SELAMAT MENCUBA!


 KRAM







Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...